Hari ni aku hanya ingin mengabadikan entry lama dari rumah lamaku.
Aku sayang entry ni sebab aku tulis tentang orang yang aku sayang dan aku rindu serta peristiwa dalam hidupku.
Rindu...
on 11/06/2008, 11:42
Salam Bonda...
Adik rindukan bonda...
Bonda ingat pada adik tak?
Bonda...seminggu dua ni adik sibuk...adik cuma lalu aje depan rumah bonda.
Bagi salam dan terus berlalu. Maafkan adik ye bonda. Adik bukan tak mahu singgah...tapi adik takut airmata adik menitik membasahi rumah bonda.
Bonda...adik sibuk dengan macam-macam hal sekarang ni. Adik ulang-alik balik rumah bapa setiap minggu. Setiap kali adik balik, adik kemas rumah. Minggu lepas, adik sapu bilik. segenggam tahi cicak dan habuk yang adik tolak keluar. adik sempat basuh cawan dan piring satu tingkat. Kemudian, adik dah habis tenaga.
Bonda...adik ingat, kalau bonda ada tentu bonda dah tolong kemas rumah sikit-sikit. Bonda tentu dah lap tingkap. paling tidakpun, bonda dah susun semua barang elok-elok. Bonda...angah pun dah ada calon. bapa kata, kalau jadi...tahun depan giliran angah pula.
Bonda...kalau bonda ada tentu seronok kan?kita boleh kemas rumah sama-sama. Cuci pinggan sama-sama. Lepas tu, bonda boleh tolong masak makan tengahari...dan adik akan terus kemas rumah. Bila petang...kita boleh lepak sama-samasambil borak-borak usik bapa.
Bonda...bulan depan dah nak masuk setahun bonda pergi...
tapi airmata adik masih belum kering. maafkan adik ye bonda...kalau adik buat bonda 'sakit' di sana.
Bonda...adik rindukan bonda..
Ini entry hari bersejarahku...
Akhirnya ia berlalu...
on 07/09/2008, 17:03
Hari bersejarahku berlalu jua. Terasa sangat penat, tetapi Alhamdulillah...bapa dan seisi keluarga berpuashati. Aku? aku sendiri sangat puas hati sebab hampir 90% persiapan aku lakukan dengan tulang 4 kerat kusendiri. Sangat sibuk dan hampir tak sempat untuk membuat hal lain selain persiapan hari bersejarahku itu.
Beberapa hari sebelum pulang bercuti, aku diasak beban kerja segera lantaran minggu seterusnya sewaktu aku bercuti, wakil JPA akan datang membuat akreditasi. Lalu, sehingga hari terakhir aku bekerja sebelum bercuti...aku mengadap komputer sehingga jam 4.30 petang.
Pulang ke kampung dalam keadaan minda yang letih memang memenatkan. 2 hari terawal, hanya untuk mengosongkan minda dan membuat kerja-kerja luar.. beli barang dan sebagainya.
Hari isnin, aku mula mencuci rumah. Ingatkan orang yang bapa pesan untuk datang membantu (baca: akan dibayar)akan datang sebagaimana dirancang. Tapi, dalam hati aku telah terasa ketidakhadirannya. Akhirnya, aku mencuci seluruh rumah sendirian. Sambil mengelap tingkap dan mengemop lantai...airmata laju mengalir. Aku tak larat. Sakit seluruh urat saraf. Namun, akhirnya siap juga. Malam itu, angah mula memasang langsir. Malam seterusnya mengemas bilik tidur utama.
Hujan turun sepanjang minggu dan hampir sepanjang hari tanpa henti. Bimbang rasa hati bukan kepalang. Jika hari hujan, tetamu mungkin tidak selesa. Hari Rabu, bapa mengambil kakaknya (sebapa berlainan ibu) di Selama. Airmata terhambur lagi tatkala Wah memberitahu bahawa dia tidak tahu langsung bonda telah tiada lebih setahun. Memang tiada siapa yang pergi memberitahunya. Kebetulan alat komunikasi memang tiada di rumah mereka.
Petang itu, 4 khemah besar terpacak di halaman rumah. Hari Khamis, mengambil tempahan bahulu dan wajik serta dulang hantaran. Mula membungkus barang-barang yang perlu. Along pulang bersama kak long merebus telur. Permata hatiku Najihah (3 tahun), kuajar memasukkan bungkusan bahulu ikan ke dalam beg kertas. Pelajar yang bijak. Sekali tunjuk sahaja, najihah sudah pandai menyiapkan tugasnya sendiri.
Lewat malam, kupaksa angah memakaikan inai ke jariku. Sayangnya, warnanya oren.Hari Jumaat, jiran-jiran datang membantu membungkus telur. Pelamin juga turut dipasang. Bilik, kuhias sendiri dengan bantuan angah dan kritikan bapa. Simple tapi nampak mewah. Itu pilihanku.
Selepas asar petang itu, kami mengadakan tahlil buat arwah bonda, dan keluarga yang telah tiada. Ramai juga yang hadir. Aku? duduk di sudut dapur, keletihan amat.
Selepas selesai tahlil, aku menuju ke resort Sg. Perak, menghantar barang-barangku kepada abang. Kubawa sedikit bekalan makanan untuk makan bersama abang lantaran sejak pagi, tiada apa yang masuk ke perutku. Rasa kenyang dek kerja yang menimbun. Duduk bersama abang sehingga jam 10 malam, menyusun barang, makan, dan berbual tentang banyak perkara. Tentang hati dan perasaan.
Pulang ke rumah, Mak Chah sudah siap menunggu dengan inai yang digilingnya. Tidur dengan inai penuh di jari...situasi amat tidak selesa. Aku tidur di ruang keluarga bersama permata hatiku, Aiman. Berteman kipas sebagai penghalau nyamuk. Tidur jam 12 tghmalam dan terjaga jam 4 pagi. buang inai di jari dan tempek inai meleret di kaki sendiri. Sedikit comot. Kali ini inai memang merah menyala. Cantik!
Jam 6 pagi 30 Ogos 2008...bangun solat subuh. Sempat menghantar sms kepada abang... "SELAMAT PENGANTIN BARU, SAYANG...". Balasan daripada abang, "BEGITU JUGA ABANG. SELAMAT PENGANTIN BARU, SAYANG. DOA MUDAH-MUDAHAN BERBAHAGIA DUNIA AKHIRAT".
Jantung berdebar tidak terkira. Siapkan sarapan dan serba sedikit urusan di dapur. Ketiadaan Bonda sungguh terasa... Jam 10.30 pagi...mula bersiap untuk disolekkan. Wajahku yang tidak pernah kuoles dengan sebarang pewarna...kini dicalit pelbagai krim dan turut ditambah bulu mata palsu. Takut untuk melihat wajah sendiri...Alhamdulillah...Kak Fida memang pandai menyolek. Tiada wajah opera Cina...yang ada wajahku yang tampak berseri tapi natural.
Tukar baju dan menunggu abang serta rombongan. Kejutan berlaku...bapa...paluan kompang memecah suasana. Sungguh tak kusangka, bapa menyewa pasukan kompang sebagai penyeri majlis. Kusangka, aku ingin sederhana sahaja dalam majlis ini...tetapi paluan kompang, acara merenjis air mawar oleh ahli keluarga, acara makan beradap, bergambar, serta potong kek di sebelah malam...menjadikan majlisku ini terlalu meriah.
Alhamdulillah...tiada kata mampu kuucap selain syukur yang tiada berpenghujung...makanan oleh katerer juga sangat lazat...kuih-muih habis dimakan oleh sanak saudara...Tiada pembaziran yang banyak berlaku. Syukran ya ALLAH... Sesungguhnya segalanya ini adalah dengan kudrat dan iradat-MU jua...
Entry sewaktu putera berusia 5 bulan di di dalam kandungan .
Projek pertama
on 24/03/2009, 10:00
Ini projek pertama lady tahun 2009. Alhamdulillah, siap dengan jayanya. Beg ni untuk isi 'enda' aka suar or baju dalaman.
hehehe...boleh juga kalau nak simpan lampin/pampers baby. Nak susun baju anak yang kecik2 pun buleh...kira macam almari tak rasmi untuk anak le...Dan ada yang kasi idea, beg ni sebagai almari segera untuk anak kalau balik kg. Tak ler bersepah baju kat umah atuk depa.
Lady buat saiz sendiri. agak besar juga. Lady tengok ada yang jual...dan harganya yang saiz kecik sikit dari yang lady buat ni...RM18-RM20 satu.Boleh tahan harganya...tapi, lady buat tanpa kos. Kain tu lebihan kain baju bonda yang lady terjumpa dalam simpanan lady.
Kain krim tu, lady beli untuk buat bedung baby...ada lebihan...so, lady tampal kat situ. Lady jahit secara manual...takde mesin jahit kat umah lady ni. Nak cuba buat?...Silakan.
Buat cantik2 tau...lady tak berapa kreatif...tangan ni keras je...hehehe
Ini antara entry yang aku rasa aku perlu simpan sebagai kenangan.
Ada lagi entry tentang bonda...tapi aku rasa dah 'hilang'/'delete'.
Apa nak buat, dah terlalu lama, mungkin.
Cukuplah sekadar ini jadi kenangan.
hi lady..camne lo ni..harap Lady dan family sehat..sejahtera
BalasPadam