Jumlah Paparan Halaman

Ahad, 1 November 2009

Pergi tak kembali

BELASUNGKAWA OPAH YAH

Malam jumaat, selepas abang pulang aku teringatkan Bonda.
Ingat yang terlalu. Entah mengapa...
Jam 1.30pg aku bangun menyusukan putera.Putera demam kuat.
Suhu badannya naik mendadak.
Cepat-cepat kepalanya kujeram air sejuk.
Jam 2.30pg barulah suhu badannya turun. Mujur saja putera tidak meragam.
Sukar kulelapkan mata selepas itu. Sekejap-sekejap aku merasa kepala putera.
Bimbang suhunya naik semula.

Jam 5pg barulah aku rasa mengantuk amat. Terjaga jam 7pg mungkin dek deringan telefon. Rupa-rupanya sepupuku dari Kota Lumpur menelefon. Cepat saja rasa hatiku menangkap...pasti ada berita buruk. Lazim panggilan awal pagi begitu mengkhabarkan berita yang kurang enak didengar.Benar sangkaanku...

Al- Fatihah buat Opah Yah, salah seorang adik kepada Allahyarhamah Opahku...
Terkenang pertemuan terakhir di Aidilfitri lalu.
Nampak benar uzurnya. Kami menunggu lama untuk bertemu dengannya sewaktu menziarahi beliau ketika itu.
banyak juga yang kami bualkan...termasuk pesanannya kepada kami agar menjaga rumahtangga dan zuriat baik-baik. Katanya...tak tahulah boleh berjumpa lagikah kita selepas ini. Rupanya memang itulah kali terakhir kami bertemu. Seolah masih terasa hangat pelukan dan lembut pujukannya. Al-Fatihah.


Aku rasa semakin ramai ahli keluarga yang pergi...Tua muda tak kira umur.
Sementelah pula dilahirkan dalam keluarga yang ramai generasi lama...
Al-Fatihah untuk kaum muslimin dan muslimat seluruhnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan